Sunday, January 18, 2009

MAAL HIJRAH

Sambutan Maal Hijrah bukan sebarang program yang hanya dianggap sebagai memenuhi takwim tahunan , tetapi ia merupakan permulaan kepada keazaman kita pada tahun baru hijrah ini, iaitu keazaman untuk tidak mengulangi maksiat kepada Allah dan seterusnya menanam keazaman untuk bersama-sama membantu agama Allah dengan meniru gaya hidup para nabi dan rasul serta golongan - golongan pembantu agama Allah yang telah berjaya seperti Golongan Muhajirin dan Golongan Ansar. Mereka telah pun memenuhi tuntutan Allah agar beriman, seterusnya menyahut perintah Allah untuk berhijrah dan perintah Allah berupa Jihad Fi Sabilillah untuk membela Islam. Bagi mereka ialah ganjaran dari Allah berupa keampunan dariNya dan kurniaan rezeki yang luas dan mulia. Buktinya ialah firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 20 hingga 22 :Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga. Mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah menyediakan di sisiNya pahala yang besar.
Sidang pembaca yang dirahmati sekalian,
Hijrah adalah satu tuntutan tuhan kepada para hambanya. Keimanan kepada Allah telah menjadikan semua perintah Allah tetap dijunjung dan disempurnakan walaupun ianya sulit dan sukar. Rasulullah SAW telah membuktikan melalui hijrah agung baginda dengan meninggalkan Kota Mekah bumi kelahiran baginda menuju ke Kota Madinah semata - mata kerana memenuhi tuntutan menegakkan sebuah negara setelah baginda telah dibuang dan ditolak di negera sendiri kerana menegakkan cara hidup Islam. Biar pun hijrah bersama baginda Rasulullah SAW telahpun berakhir, namun tuntutan hijrah dalam konteks meninggalkan segala maksiat dan menuju keredhoan tuhan tetap berkekalan sehinggalah hari kiamat.
Sabda nabi SAW :
لا تنقطع الهجرة حتى تنقطع التوبة ولا تنقطع التوبة حتى تطلع الشمس من مغربها
Maksudnya ;“Hijrah tidak akan berakhir sehinggalah berakhirnya peluang bertaubat dan peluang bertaubat tidak berakhir sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat”
- Riwayat Abu Daud
Hijrah ialah perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Pengertian hijrah kerana mencari sesuatu dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu mencari agama dan mencari penghidupan dunia dengan cara yang diredhoi Allah. Berjalan dan berhijrah ke sesuatu tempat untuk mengambil pengajaran dan pengiktibaran dari bencana yang Allah timpakan juga adalah tuntutan hijrah dalam mencari agama. Renungilah bagaimana kekuasaan Allah menggoncang bumi melalui fenomena gempa bumi sehinggalah menghancurkan puak Ad dan Samud yang Allah utuskan Nabi Hud dan Saleh sebagai pemberi ingatan. Allah menurunkan azab pula kepada kaum Luth yang mengamalkan homoseksual dengan menterbalikkan bumi. Lawatilah tempat di mana Allah menenggelamkan semua penentang Nabi Allah Nuh melalui banjir besar serta luar biasa yang melimpah-limpah airnya dari langit dan bumi. Ambillah peringatan melalui rakaman sejarah besar dunia untuk terus patuh dan beriman kepada Allah.
Sidang pembaca yang budiman,

Marilah kita jayakan hijrah ini dalam bentuk meninggalkan larangan - larangan Allah dan memperkasakan diri kita selaku mukmin sejati agar tidak mudah tunduk dan patuh kepada kehendak musuh-musuh orang beriman iaitu yang terdiri daripada orang-orang kafir yang ingin memerangi kita, syaitan yang sentiasa tidak berputus asa menyesatkan kita, orang - orang Islam sendiri yang bersikap dengki kepada kita, orang - orang munafik di kalangan kita yang selalu memarahi orang mukmin dan musuh dalaman kita sendiri iaitu hawa nafsu yang sentiasa ingin menang ke atas diri kita. Tanpa mujahadah dari kita pasti kita akan cenderung untuk mengulangi kesilapan tahun lalu berulang kali pada tahun ini. Sedarlah betapa ancaman Allah adalah neraka yang azabnya amat menghinakan.
Sebenarnya kemunduran dan ketinggalan umat Islam adalah berpunca dari sikap mereka sendiri bukannya kelemahan pada pengamalan agama Islam. Sikap negatif seperti malas, menangguhkan perlaksanaan sesuatu urusan tanpa sebab, hasad dengki sesama sendiri dan mengambil pendekatan cukup dengan apa yang ada merupakan sebahagian daripada sikap-sikap yang perlu dihakis dan dikikis serta dihapus lumatkan dari diari kehidupan umat Islam sekiranya mereka ingin meletakkan diri mereka di mercu kecemerlangan dan kegemilangan. Sesungguhnya perubahan sikap negatif kepada positif adalah hijrah dan melaluinya Umat Islam dapat menempa kemajuan dan meletakkan diri mereka pada kedudukan yang dikagumi oleh kawan dan lawan.
Firman Allah Taala yang maksudnya...
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana ( disebabkan kesalahan mereka sendiri ), maka tiada sesiapapun Yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya".
Wallahua'lam...