Monday, March 28, 2011

Mesir dan kebangkitan rakyat


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله

25 januari 2011 adalah hari yang tidak akan dilupakan  oleh penduduk mesir selepas ini. Ia merupakan hari bermulanya kebangkitan rakyat mesir menentang diktator presiden Hosni Mubarak. Melihat anak muda berkumpul beramai-ramai melakukan demonstrasi jalanan bukanlah perkara baru dalam hidupku.

Sejak di Malaysia lagi aku mengenal cara ini. Akan tetapi apa yang berlaku di Mesir ini bukan sebarangan demonstrasi. Boleh dikatakan hampir seluruh rakyatnya bangkit melaungkan ketidakpuasan hati mereka terhadap pemerintah yang zalim. Di Malaysia hanya beberapa golongan kecil sahaja yang berani bersuara dan yang lain membisu seribu bahasa. 

Akhirnya dunia dapat menyaksikan rakyat Mesir berjaya menyingkirkan presiden yang telah lama mencengkam mereka dengan kuku besinya selama tiga puluh tahun itu. Ianya menjadi inspirasi dan penaik semangat bagi rakyat negara lain menentang pemimpin negara mereka yang lebih kurang sama kelakuannya dengan Ammu Hosni. 

Mereka telah lama ditindas oleh anak bangsa mereka sendiri. Hosni Mubarak adalah berbangsa arab mesir dan begitu juga pak menterinya. Sepatutnya anak bangsa itulah yang bermatian menjaga suku bangsanya, tetapi harapkan pegar, pegar yang menjual padi-padi di bendang. 

Adakah kita bangsa melayu begitu juga? Adakah kita mengharapkan bangsa yang menjaga kita? Adakah kita perlu menukarkan bangsa melayu kepada bangsa Malaysia untuk membela nasib kita? Atau kita perlu kepada bantuan bangsa lain seperti bangsa arab atau bangsa yahudi untuk membantu perjuangan kita? Fikirkanlah beramai-ramai…

والله أعلم بالصواب