Thursday, December 30, 2010

Azhari Perlu Ubah Cara Berfikir..


بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله


(gambar masjid Al-Azhar yang lama)

                Ingin berkongsi pengalaman melalui catatan dari Ustaz Nazrul Nasir bertarikh 07 september 2009 mengupas mengenai pengajian talaqqi dari perspektif Azhari… Semoga mahasiswa-mahasiswi selaku duta kecil dunia Malaysia ke Mesir ini menjalakan tanggungjawab amanah ilmu dengan sebaiknya…


Semasa saya mula sampai ke pangkuan al-Azhar al-Syarif pada 16 Oktober 2004, antara tempat yang mula saya jejaki adalah Masjid al-Azhar al-Syarif.Perasaan di dalam hati sejak mula menjejakkan kaki ke Bumi Barakah ini memang sudah dipasakkan untuk sebanyak-banyaknya bertalaqqi dengan para ulama di Bumi Kinanah ini.

                Alhamdulillah niat dan azam saya ketika sebelum berangkat ke Mesir dimakbulkan Allah taala.Antara kelas pengajian yang saya ikut ketika tersebut adalah pengajian bersama Syeikh Dr Amru Wildani hafizahullah .Beliau mengajar kitab al-Tamhid Fi Takhrij al-Furu’ a’la al-Usul.Kitab yang saya akui sangat susah, tambahan saya baru saja sampai ke Mesir ketika tersebut.Antara guru-guru yang lain yang mengajar ketika tersebut adalah al-Alim Al-Allamah Syeikh Dr Ali Jum’ah hafizahullah , Mufti Mesir.Saya sempat mendengar daripadanya sebahagian kecil kitab Sunan Nasa’ie .Pengajian tersebut dilaksanakan setiap hari pada seawal 7 pagi.Maksudnya selepas solat Subuh maka saya perlu bergegas untuk ke Masjid al-Azhar bagi mengikuti pengajian di sana.

                Saya juga sempat membaca sedikit kitab Majmu’ Syarah Muhazzab dengan Syaikhuna al-Allamah Dr Ahmad Hajain hafizahullah.Masih kuat diingatan saya, yang hanya hadir bersama membaca kitab Majmu’ tersebut hanyalah tiga orang, saya dan dua orang lagi kawan berbangsa Arab.Tapi sekarang, Syeikh Ahmad antara yang memiliki murid dan peminatnya sendiri yang cukup ramai dikalangan pelajar Melayu .

                Ketika tersebut kelas tidak terlalu banyak seperti sekarang.Maksud saya kelas di masjid al-Azhar sendiri.Kalau ingin belajar lebih maka perlu untuk bertemu dengan Syeikh dan pergi belajar di rumah syeikh sendiri.Malamnya kami belajar kitab Fiqh Syafie bersama Syeikh al-Allamah Sayyid Syaltut hafizahullah.Namun sekarang, kelas pengajian di Masjid al-Azhar terlalu banyak.Sehingga terpaksa untuk saya membahagikan masa dan memilih kelas yang saya benar-benar melaziminya.Malah setelah kenal dan rapat dengan Syaikhuna Murabbi Dr Yusri hafizahullah, maka saya lebih banyak bertumpu kepada pengajian yang disampaikan oleh beliau.

                Satu perkara yang saya dapati ketika mula-mula sampai kesini ialah senario pelajar-pelajar Melayu yang berasal daripada Malaysia khususnya di dalam pengajian berbentuk talaqqi ini sangat mendukacitakan.Lebih banyak bermain dan berjalan-jalan berbanding memenuhkan masa untuk bersama para ulama.Tak hairanlah kalau orang ramai mengkritik keluaran al-Azhar sekarang tidak berkualiti seperti keluaran sebelum ini.

                Pelajar wanita Malaysia antara yang paling terkebelakang di dalam masalah Talaqqi di Masjid al-Azhar pada ketika saya mula-mula sampai.Malah tidak keterlaluan saya katakan bahawa tiada langsung pelajar al-Azhar wanita Melayu yang berasal daripada Malaysia di Masjid al-Azhar untuk belajar dan mendengar majlis pengajian.Hanya saya dapati pelajar-pelajar wanita daripada Indonesia sahaja yang sering bertandang ke kelas para ulama di al-Azhar.

                Pernah saya terfikir , kenapa mereka tidak langsung datang ke tempat mulia sebegini untuk menadah ilmu???.Malah sedikit wang pun tidak perlu dikeluarkan untuk belajar dengan para ulama di al-Azhar ini.Semuanya percuma.Free off Charge.Teringin untuk mewara-warakan kepada ustazah-ustazah al-Azhar ketika tersebut namun saya tidak punya cara.

                Setelah dilantik menjadi kepimpinan di dalam Badan Pengurus PMRAM, maka bermulalah langkah saya mengajak para pelajar ke Masjid al-Azhar al-Syarif untuk menuntut ilmu di sana.Tambahan pula ketika tersebut, al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Hussain sendiri merupakan Presiden PMRAM.Malah beliau sendiri antara tenaga yang banyak membantu di dalam menjayakan misi Talaqqi di Masjid al-Azhar pada ketika tersebut.

                Memang sudah diketahui bahawa tugas sebagai kepimpinan yang memegang amanah seluruh anak Malaysia di Bumi Mesir yang hampir 7000 pelajar bukanlah satu tugas yang mudah.Perlu komitmen yang tinggi.Alhamdulillah Ustaz Hairul Nizam selaku Presiden sangat-sangat memahami bahawa saya adalah orang yang akan mendahului kelas pengajian di Masjid al-Azhar berbanding yang lain.Malah beliau juga sebegitu.

                Saya teringat pada ketika mula-mula dilantik menjadi Badan Pengurus, ketika sedang berjalan dengan Ustaz Hairul menuju ke Pejabat PMRAM setelah selesai solat Isya’ di Masjid Nur.Beliau bertanya kepada saya:

Macamana Ust Nazrul setakat sekarang menjadi Badan Pengurus?, Waktu pengajian terganggu atau tidak??

Alhamdulillah setakat ini tiada lagi yang terganggu.Cuma kadang-kadang terasa agak berat” saya menjawab.

Ustaz Hairul menyambung percakapannya “ Emm, memang tugas sebagai Badan Pengurus berat, namun sebenarnya tugas sebeginilah yang akan membantu kita untuk lebih mengurus masa.Pengajian sangat penting.Ana sendiri ketika selalu bertalaqqi di Masjid al-Azhar pernah ada orang yang menyindir mengatakan bahawa kita lebih mementingkan diri berbanding persatuan.Ana tanya kembali kepada orang yang mengatakan sedemikian, adakah terdapat istilah belajar untuk diri sendiri? Talaqqi untuk diri sendiri?? Kita akan pulang sebagai jentera penggerak perjuangan Islam.Kalau tidak punya ilmu yang benar-benar mantap, bagaimana untuk kita membantu perjuangan??Sekadar berceramah? Kalau sekadar untuk pandai berceramah tak perlu datang ke sini

                Panjang lebar Ustaz Hairul menerangkan kepada saya.Sangkaan saya semakin kuat bahawa persatuan bukanlah menghalang untuk seseorang tersebut belajar dan bertalaqqi.Kepimpinan yang tidak bertalaqqi hanyalah mencipta alasan untuk tidak mahu bertandang ke sana.

                Kalau kepimpinan sering bertalaqqi, maka yang tidak menjadi kepimpinan lebih-lebih lagi perlu dan wajib bertalaqqi.Kita di sini banyak buang masa. Tapi semasa balik ke Malaysia berserban besar , berjubah dan bertasbih menipu orang-orang yang benar-benar berbaik sangka dengan kita di sini.Kononnya belajar, hakikatnya yang sering dilakukan hanyalah tidur, makan, dan main.Itu sahaja.Ilmu diambil daripada dada para ulama bukannya daripada helaian kertas semata-mata.

                Berbalik kepada pelajar wanita Malaysia di al-Azhar al-Syarif.Dahulunya cukup payah malah tiada langsung ustazah yang belajar di Masjid al-Azhar.Namun sekarang Alhamdulillah, semakin ramai wanita bertudung labuh,bertubuh wanita Asia yang datang memenuhi majlis pengajian di Masjid al-Azhar.Saya tidak mengatakan bahawa saya dan Ustaz Hairul yang merintis perkara ini.Namun kami memohon kepada Allah taala moga pahalanya akan turut mengalir kepada kami.
Gembira sangat bila melihat ustazah-ustazah memenuhi Masjid al-Azhar.Sebelum ini, kelibat ustazah hanya boleh dilihat di kedai-kedai buah, kedai runcit, Khan Khalili( tempat beli barang untuk pulang ke Malaysia) , lapangan terbang antarabangsa dan kawasan-kawasan yang sekitarnya.Bagaimana ustazah-ustazah nak berjuang menegakkan Islam bila pulang kelak??Namun itu dulu, sekarang suasana sudah berubah.

                Sebab itu saya sangat pelik jika masih terdapat golongan yang tidak membenarkan untuk ustazah-ustazah pergi belajar.Kalau kelas pengajian pada waktu malam sekalipun apa salahnya jika kita benarkan untuk mereka pergi.Dengan syarat punya pengiring di kalangan ustaz-ustaz.Kalau ke lapangan terbang, kita benarkan pula mereka beramai-ramai pergi dan balik lewat malam.Namun kenapa ke Kelas para Masyaikh kita tidak benarkan??Bukannya pergi bersendiri dan jalan seorang diri.Mentaliti sebegini perlu diubah.Mereka juga akan pulang sebagai jentera pengerak dakwah.Oleh sebab itulah , Syaikhu Syaikhina, Al-Allamah Muhaddis, Musnid al-Dunya Syeikh Yassin al-Fadani rahimahullah sendiri menubuhkan pusat pengajian untuk wanita semata-mata .Tujuannya adalah untuk melahirkan generasi pelapis ulama di kalangan wanita.

Kita bercita-cita nak lahirkan Sayyidah Nafisah kedua, Sayyidatina Aisyah al-Humaira’ radhiyallahu anha yang kedua.Namun jalannya kita sekat.

Kena ingat, pengajian talaqqi sangat berbeza dengan pengajian di bilik kuliyyah Universiti.

Berilah peluang untuk para ustazah belajar dengan para ulama di sini.Sekurang-kurangnya pahala mereka akan mengalir kepada kita dan mereka akan turut doakan kesejahteraan pada kita.Sementara ada generasi wanita Melayu di al-Azhar yang benar-benar bersemangat untuk belajar, maka raikanlah.Jangan sampai kalau pupus langsung generasi sebegini, maka kita akan dipersoalkan kelak di sisi Allah taala.Maka pada waktu itu, alasan tidak berguna lagi.

Kita perlukan generasi berilmu, bukan semangat semata-mata tanpa ilmu di dada.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid Al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah Mesir 

T.Q
الحمد لله الذي جعلنا من المسلمين


والله أعلم بالصواب

Wednesday, December 15, 2010

(TERJEMAH) Hikmah Hudud -06-


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله


6) Hudud menjaga nyawa, harta dan maruah

                [“Islam mengharamkan (menjaga) nyawa, harta, dan maruah seperti yang saya sebutkan. Ketiga-tiga ini adalah perkara yang paling bahaya jika manusia berbalah kerananya. 

                Sekiranya manusia memahami hikmah pengharamannya dari seorang muslim kepada yang lain, maka tertutuplah pintu perbalahan, dan sempitlah jalan pertikaian dan perpecahan. Tiga perkara inilah pada hakikatnya tujuan disyariatkan Hudud tersebut dan yang bersangkutan dengannya. 

Kita akan dapati bahawa hukuman zina dan qazaf bersangkutan dengan maruah, hukuman pencuri bersangkutan dengan harta, dan adanya hukuman qisas untuk menegaskan tentang kehormatan nyawa. 

                Kemudian diharamkan arak dan dikenakan hukuman kepada peminumnya kerana ia adalah ibu segala kejahatan dan yang menghilangkan kemampuan akal untuk berfikir lalu mengakibatkan manusia terjerumus ke dalam salah satu kesalahan yang boleh di hukum dengan hukuman Hudud.”]

والله أعلم بالصواب

Monday, December 13, 2010

(TERJEMAH) Hikmah Hudud -05-


بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله


5) Tiada tarbiah yang baik melainkan Tarbiah Islamiah

                [“Apabila kita menuntut seseorang supaya menjadi seseorang yang berbudi pekeri dan baik perilaku serta istiqamah dalam setiap sudut, maka kita juga menuntut masyarakat yang berada di sekelilingnya membantu proses perubhan tersebut sehingga ianya mencapai tahap harmoni dan saling melengkapi antara individu dan masyarakat kesemuanya. 

                Ini akan membuatkan masyarakat keseluruhannya akan berakhlak dengan akhlak yang baik. Pandangan ini amatlah diambil berat dalam syariat islam bahkan menjadi salah satu pandangan penting untuk menerapkan nilai murni dalam masyarakat yang di perbincangkan. 

Sebagai contoh, islam melarang wanitanya daripada tabarruj (bersolek), tazayyun (berhias) bagi menarik perhatian lelaki, menonjol, dan muncul di hadapan mereka sepertimana melarang berkhalwat dan pergaulan bebas. Demi Allah ianya bukan untuk menghina seseorang, sekali-kali pun tidak dan jauh sekali, akan tetapi adalah untuk pencegahan, penjagaan dan ambil berat, serta menutup ruang bagi jenayah dan pintu fitnah. 

Kita bukanlah hanya menunggu seseorang untuk melakukan jenayah dan kemudian menghukumnya, akan tetapi kita membantu generasi muda dalam  membentuk kesucian diri dan akhlak mereka. Adakah dengan kita membiarkan perempuan berhias dan menampakkan perhiasan mereka lalu membenarkan mereka bergaul dengan pemuda dan lelaki di pengakutan dan di dalam dewan kuliah, kemudian kita menyuruh kaum lelaki supaya bersopan, maka ini adalah cubaan yang berat bagi mereka. 

Islam tidak mahu ini berlaku kepada kaum lelakinya. Oleh yang sebab itulah islam membantu mereka dalam proses membentuk kesopanan dengan menutup pintu fitnah. Inilah bezanya antara Islam dan undang-undang buatan manusia yang lain. 

Kerana mereka tidak menjaga generasi muda dengan latihan dan membuang segala sebab yang boleh mengakibatkan mereka terjerumus dibawah hukumannya. Mereka hanya memerangkap sesiapa yang menyalahi hukuman tersebut lalu menghukumnya, dan selama-lamanya mereka tidak membantu utntuk mengelakkan mereka daripada terjerumus dalam kesalahan tersebut. Segala puji bagi Allah atas nikmat Islam yang suci ini.”]
والله أعلم بالصواب

Wednesday, December 8, 2010

Murabbi : Bersama Syeikh Ahmad Al-Hajain


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله


Gambar ini adalah gambar kenangan bersama Syeikh Ahmad ibnu Solah Al-Hajain sewaktu di tahun dua kuliah Usuluddin Azhar hujung tahun 2008 di masjid Sultan Hassan, Kaherah, Mesir.

والله أعلم بالصواب

(TERJEMAH) Hikmah Hudud -04-


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله



4) Memimilih Hudud untuk menghapus dosa
 
                [“Telah berbuah hasil didikan Islam dengan begitu berkat sekali sehinggakan orang yang melakukan dosa besar di zaman Rasulullah contohnya dalam satu kes zina itu tidak disabitkan kesalahannya dengan bukti atau saksi tetapi disabitkan dengan pengakuan atau ikrar. Ini bermakna mereka telah dating sendiri mengaku kepada Nabi S.A.W dan beikrar tentang kesalahan yang mereka lakukan itu dan meminta untuk dijatuhkan hukuman Hudud terhadap mereka. 

                Mereka tidak dapat menerima hukuman yang lebih ringan daripada itu untuk menghapuskan dosa yang menyakiti hati mereka, sedangkan dihadapan mereka terbentang luas pintu taubat kepada Allah secara sembunyi dan dapat membuang dosa mereka dan tidak akan kembali kepadanya sampai bila-bila, lebih-lebih lagi sekiranya tidak ada seorang pun yang mengetahui perbuatan  itu. 

                Islam tidak mengarahkan mereka untuk pergi mengaku kesalahan di hadapan Hakim dan dosa besar itu akan terhapus dengan taubat yang benar. Ini menunjukkan kepada kita betapa sucinya hati generasi yang berkat ini, sehingga kesalahan pun mereka berlumba-lumba untuk beertaubat dan membetulkannya.”]

والله أعلم بالصواب

Tuesday, December 7, 2010

(TERJEMAH) Hikmah Hudud -03-


بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله


3) Contohi generasi yang mewariskan Hudud

                [“Sesungguhnya Hudud telah disyariatkan pada fatrah akhir dalam tempoh hidup Baginda Rasulullah S.A.W. ketika beliau berada di Madinah. Iaitu selepas teguhnya kedudukan Masyarakat Islam pada waktu tersebut, dan ketika kefahaman tarbiah islamiah mendalam dalam diri mereka. Sudah menjadi sebahagian daripada hidup mereka dan selepas hati-hati mereka telah merasai kemanisan iman dan berakhlak dengan adab-adabnya. 

                Mereka mempunyai sifat taqwa yang tinggi yang member kesan kepada akhlak mereka yang zahir. Maka jadilah mereka generasi yang terbaik yang pernah ada di dalam sejarah kehidupan manusia. Istiqomah dalam setiap amalan, baik dan penyayang. Kemudian selepas daripada itu, Hudud datang untuk menguatkan lagi bahawa Islam adalah agama suci yang tidak menyukai untuk menghukum orang yang bersalah akan tetapi berusaha untuk mewujudkan Muslim yang tidak akan dihukum seperti yang kita sebutkan tadi.”]

والله أعلم بالصواب

Monday, December 6, 2010

(TERJEMAH) Hikmah Hudud -02-


بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله

2) Persediaan masyarakat untuk menerima Hudud

                [ "Biarpun Hudud itu penting dan melaksanakannya di bumi Allah ini adalah lebih baik dari hujan selama empat puluh tahun kita tetap juga menginginkan pembinaan masyarakat Muslim dan tidak semata-mata pelaksanaan Hudud sahaja seperti pandangan beberapa pihak.

                Bahkan kita menuntut masyarakat muslim (yang tiada Hudud lagi) yang mendidik anak mereka menjaga keselamatan nyawa, harta, dan maruah. Juga setiap individu dalam masyarakat muslim yang mengetahui tentang pengharaman mengganggu hak-hak individu muslim yang lain. Tidak menjatuhkan maruahnya, tidak mencuri hartanya,dan tidak menumpahkan darahnya.

                Masyarakat Islam yang mencintai saudara seagamanya seperti mana dia mencintai diri dia sendiri. Juga yang tidak menyukai orang lain menceroboh haknya kerana dia tidak mengganggu hak orang lain.

                Masyarakat Muslim yang menyebarkan salam, dan bersedekah, mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, tidak redha kemaksiatan tersebar luas,dan tidak suka kesalahan menjadi beleluasa, dan mecegah kesalahan dari awal-awal lagi.

Menegur yang biadab, menolong yang dizalimi, meminta maaf atas kesilapan, memulangkan hak yang dizalimi, Bertolong bantu dalam perkara agama dan dunia, tidak membiarkan begitu sahaja, juga tidak mencemuh dan menghina bahkan menyayangi mereka sebagai seorang muslim.

                Masyarakat yang membina peribadi ahlinya supaya bersikap lemah lembut, pembersih, menjaga pandangan, maka tidak cenderung kepada selain dari yang dimilikinya sahaja dari harta, isteri, atau jawatan dan sebagainya.

                Wanita dalam masyarakat yang menutup aurat, lemah lembut, dan pembersih, tidak menghampiri perkara-perkara keji, tidak membuka ruang-ruang fitnah, dan tidak menampakkan perhiasan diri kecuali yang dibenarkan oleh Allah sahaja, menjaga kehormatan, membantu suami dalam urusan dunia dan agamanya dan menjadikan Ummul Mukminin sebagai idola mereka.

                Masyarakat yang yang memenuhi hati anak-anak mereka dengan taqwa kepada Allah, takut kepadanya, cinta kepadanya, mentaati perintahnya sepenuh tenaga, juga mencintai Rasulullah S.A.W. Mereka takut kepada tuhan dan bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa sepertimana mengikut suruhan Al-quran dalam surah Ali ‘Imran: 102:


(102. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah Dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan Dalam keadaan Islam.)

Juga terkesan dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W: 

أما والله إني أخشاكم لله وأتقاكم له...

(Adapun demi Allah sesungguhnya akulah yang paling takut kepada Allah dari kalangan kamu dan paling bertakwa kepada-Nya…)

                                Masyarakat yang jika tersedia dihadapannya ruang untuk melakukan kemungkaran dan tidak akan diketahui oleh orang lain selama-lamanya, maka dia tetap tidak akan melakukan itu kerana dia mengetahui Allah memerhatikannya dan Allah mengetahui pengkhianatan mata seseorang dan apa yang terselindung dalam hatinya. Oleh sebab itu dia tidak melakukannya, takut kepada Allah, kerana dia menyembah Allah seolah-olah dia melihat-Nya. 

                                Sekiranya tidak sampai kepada darjat ini, sekurang-kurangnya dia meyakini bahawa Allah melihatnya. Ini adalah darjat ihsan yang disebutkan dalam hadis Jibril A.S. dimana Nabi mengajar para sahabat dan mendidik mereka kearahnya seterusnya mengajar ummah melalui mereka.

الإحسان أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك

( …Ihsan itu adalah kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekiranya kamu tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat kamu)

                                Seperti masyarakat ini yang benar-benar wujud (sangat jarang ditemui) menyalahkan anak-anaknya yang melakukan kesalahan dengan tegas kerana melakukan satu daripada dosa-dosa. Sekiranya masyarakat ini benar-benar wujud (sangat jarang), maka hudud itu datang untuk membaiki kesalahan dan membetulkan perjalanan supaya dapat menjaga masyarakat yang imannya mantap seperti itu."]

والله أعلم بالصواب

Saturday, December 4, 2010

(TERJEMAH) Hikmah Hudud -01-


بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله

                Tertarik untuk menterjemahkan sebahagian daripada perbicaraan mengenai hukum Hudud dalam kitab Dirasat Madhu’iah fi Dhau As-sunnah Al-Mutohharah, karangan Ustaz Doktor Marawan Muhammad Mustafa Shahin, pensyarah Jabatan Hadis dan Ulum Hadis, Kuliah Usuluddin Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir…

1) Hudud : kepentingan dan pelaksanaan           

[ "Hudud adalah sangat penting dalam Islam, kerana ia mencerminkan satu sudut dari sudut-sudut syariat Islam yang utama bagi menstabilkan keamanan dan keharmonian masyarakat, dan ketenangan setiap umat islam tentang harta, nyawa, dan kehormatannya. Allah taala telah berfirman: 

179. dan di Dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, Wahai orang-orang Yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

Betapa pedihnya hati Baginda Rasulullah S.A.W di atas permintaan Usamah Bin Zaid R.A kerana meminta pelepasan hukuman hudud terhadap seorang wanita yang telah disabitkan dengan kesalahan mencuri dan baginda menerangkan bahawa kelemahan dalam pelaksanaan hukuman Hudud adalah disebabkan oleh kepincangan umat dan kelemahan mereka dengan menghukum golongan yang lemah dan melepaskan golongan yang berkedudukan.

Golongan yang lemah akan merasa tidak tenteram terhadap keselamatan harta, nyawa serta kehormatan mereka. Seterusnya melemahkan pegangan agama mereka juga ketaatan terhadap bangsa dan Negara. Inilah kecelakaan yang terburuk dan mengakibatkan kelemahan umat Islam seluruhnya".]
 

والله أعلم بالصواب