Thursday, August 26, 2010

Kenapa Doa Tidak Diterima?


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله
                Kata-kata Ibrahim bin Adham r.a (777M) menjawab pertanyaan mengenai asbab doa mereka tidak di terima ( ما بالنا ندعو فلا يستجاب لنا؟ ) ;
Maka dia berkata: Ini kerana kamu semua;
1)    عرفتم الله فلم تطيعوه
“kamu mengenal Allah Taala tetapi kamu tidak mentaati-Nya”

2)    وعرفتم الرسول فلم تتبعوا سنته
“dan kamu mengenal Rasullullah S.A.W tetapi tidak mengikuti sunnahnya”

3)    وعرفتم القرأن فلم تعملوا به
“dan kamu mengetahui tentang Al-Quran tetapi tidak beramal dengannya”

4)    وأكلتم نعم الله فلم تؤدوا شكرها
“dan kamu memakan Nikmat Allah tetapi tidak mensyukurinya”

5)    وعرفتم الجنة فلم تطلبوها
“ dan kamu mengenal Syurga tetapi tidak memintanya”

6)    وعرفتم النار فلم تهربوا منها
“ dan kamu mengenal Neraka tetapi tidak melarikan diri daripadanya”

7)    وعرفتم الشيطان فلم تحاربوه ووافقتموه
“dan kamu mengenal Syaitan tetapi tidak memeranginya dan kamu bersepakat dengannya”

8)    وعرفتم الموت فلم تستعدوا له
“dan kamu mengetahui tentang kematian tetapi tidak bersedia untuknya”

9)    ودفنتم الأموات فلم تعتبروا
“dan kamu mengkebumikan orang-orang yang telah mati tetapi tidak mengambil pengajaran”

10)  وتركتم عيوبكم واشتغلتم بعيوب الناس
“dan kamu meninggalkan keaiban kamu dan kamu sibuk dengan keaiban orang lain.”
والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله
sumber: Tafsir Al-Qurtubi

Tuesday, August 24, 2010

Doa dan Puasa


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله.
            Setiap kali dalam solat atau diluar solat kita membaca surah Al-Fatihah yang didalamnya kita menyatakan bahawa hanya kepada Allah kita sembah dan hanya kepada Allah kita meminta pertolongan. Kemudian doa untuk ditunjukkan jalan yang mustaqim. Iaitu jalan yang Allah beri nikmat kepada mereka dan bukan jalan yang dimurkai dan jalan  orang yang sesat.
Nabi Muhammad S.A.W mengajar kepada kita doa-doa yang boleh dibaca pada waktu-waktu tertentu dan juga pada ketika kita berhajat kepada sesuatu. Maka lebih afdhal untuk kita mengamalkannya kerana ianya warid daripada Baginda S.A.W dan tidak menjadi satu dosa untuk kita berdoa selain dari apa yang nabi berdoa. Dan tidak semestinya berbahasa Arab kecuali ketika dalam Solat. Kerana didalam solat tidak boleh menggunakan bahasa lain kecuali bahasa Arab. Jika tidak maka solat itu terbatal dan tidak sah.
 186. dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
)Surah Al-Baqarah: Ayat 186(
                Ayat 186 dari surah Al-Baqarah ini dengan jelas kepada kita pensyariatan berdoa. Dan doa itu dalam Islam merupakan salah satu daripada Ibadah berdasarkan hadis Sohih (الدعاء هو العبادة). Bagi umat islam Haram sekiranya kita berdoa dan meminta pertolongan kepada selain dari Allah taala. Kerana itu adalah perbuatan syirik.
Asbab nuzul ayat diatas ialah pada suatu hari datang seorang A’rabi kepada Nabi S.A.W dan bertanya: Adakah tuhan kita dekat maka kita berbisik kepada-Nya atau jauh maka kita memanggil-Nya. Nabi tidak menjawabnya lalu turunlah ayat itu. Asbab yang lain pula ialah bertanya para sahabat R.A. kepada Rasulullah S.A.W: Di mana Tuhan kita? lalu Allah menurunkan ayat tersebut.
Ayat diatas disebut dalam Al-Quran selepas daripada ayat pensyariatan berpuasa di bulan Ramadhan. Menunjukkan kepada kita kepentingan berdoa pada bulan puasa dan memberi galakan untuk memperbanyakkan berdoa di bulan Ramadhan ini terutama pada waktu sahur dan pada waktu hampir berbuka puasa. Diriwayatkan daripada Imam Ahmad, At-Tirmizi, An-Nasaie,dan Ibnu Majah R.A.: daripada Abu Hurairah berkata: Nabi S.A.W. bersabda: tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Imam yang Adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa orang yang dizalimi.
Bulan puasa adalah bulan ibadat dan melatih kita menahan dan melawan hawa nafsu dari berleluasa menguasai jiwa. Bulan Ramadhan adalah sebaik-baik bulan untuk muhasabah diri dan mengenal tahap nafsu kita. Berpuasa di siang harinya, dan mendirikan malamnya dengan tarawih. Apabila kita berpuasa dengan penuh penghayatan dan menjaga diri dari perkara yang merosakkan pahala puasa kita maka jika kita berdoa dengan penuh pengharapan, Insya-Allah akan dimakbulkan.
Imam Malik R.A. menyebut dalam kitabnya Al-Muattha’: daripada Zaid bin Aslam sesungguhnya dia berkata: Tidak ada orang yang berdoa kecuali diantara tiga golongan: samada di makbulkan baginya atau di simpan untuknya atau di hapuskan dosanya.
Diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri R.A. berkata: Berkata Rasulullah S.A.W. : tidak ada dikalangan orang mukmin yang berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutuskan tali silaturrahim melainkan Allah memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara, samada dipercepatkan apa yang dimintanya atau disimpan baginya atau dihapuskan dari dosanya sama seperti apa yang dimintanya.
Perkataan Qarib (قريب) didalam ayat bukan bermaksud dekat atau hampir dari segi jisim kerana mustahil Allah taala mempunyai jisim. Tetapi bermaksud dekat dari sudut ilmu kerana Allah taala itu Maha Mengetahui atas setiap sesuatu yang berlaku termasuklah doa orang yang meminta, atau dekat dari segi memakbulkan doa dan Berkuasa untuk memakbulkannya. Dan Allah taala hanya akan memakbulkan doa bagi orang yang beriman dan beramal soleh sahaja. Kerana hanya orang yang beriman dan beramal soleh sahaja yang mengaku menjadi hamba kepada Allah taala.
Perkataan Falyastajibu li ( فليستجيبوا لي ( membawa maksud hendaklah mereka itu mentaati segala seruan-Ku. Ini kerana sekiranya melanggar perintah Allah taala itu akan menyebabkan doa seseorang itu terhijab dari diterima. Setiap apa yang diperintahkan mestilah dipatuhi. Barulah boleh dinamakan sebagai hamba. Kerana fitrah hamba itu mentaati perintah tuannya. Inikan pula perintah tuan sekalian alam.
Kemudian disambung dengan perintah yang kedua Walyu’minu bi ( وليؤمنوا بي ) maksudnya dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku. Faedah daripada perintah pertama itu ialah perbuatan (ketaatan) dan dari perintah yang kedua itu berterusan (keimanan). Dengan melaksanakan perintah Allah taala dan berterusan dalam keimanan sehingga mati itu mudah-mudahan akan mendapat hidayah dan pertolongan kepada yang benar dan betul ( ( لعلهم يرشدون.
والله أعلم بالصواب...
والسلام عليكم ورحمة الله
Rujukan:
1)        Quran dan terjemahan
2)        Tafsir Al-Qurtubi
3)        Tafsir At-Tahrir Wat-Tanwir
4)        Tafsir Al-Wasit li At-Tantawi
5)        Tafsir Al-Wasit li Az-Zuhaili
6)        Mu’jam Al-A’rabi